Beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, umi mengajak saya ke kedai emas untuk membeli seutas gelang. Sesampainya di sana, saya telah berkenan pada seutas gelang tangan yang bertatahkan permata namun umi menolak pilihan saya dan memilih seutas gelang emas yang pada pandangan saya hanya sesuai untuk golongan yang berusia.
Saya agak berkecil hati kerana umi sewenang-wenangnya menolak gelang pilihan saya. Bukankah elok sekiranya umi menerima pendapat saya kerana yang akan memakai gelang tersebut adalah saya dan bukannya umi. Sewaktu saya dan umi sedang berdiskusi mengenai gelang mana yang bakal dibeli, tiba-tiba datang seorang mak cik yang tidak dikenali menegur umi dan melihat-lihat gelang-gelang yang menjadi pilihan kami. Umi berbasa-basi dengan menanyakan mak cik tersebut sama ada dia juga mahu membeli gelang. Mak cik tersebut lantas menggelengkan kepala. Mak cik tersebut memberitahu dia tidak boleh memakai gelang dan menyatakan betapa bertuahnya saya.
Saat itu saya kurang mengerti mengapa dia menyatakan dia tidak boleh memakai gelang dan kenapa saya dikatakan bertuah. Pada andaian saya, dia mungkin alergik dan merasakan saya bertuah kerana dapat memakai gelang baru sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Ketika mak cik tersebut ingin keluar dari kedai, umi menghampirinya kerana ingin bersalam tetapi dia kelihatan teragak-agak untuk menyambut tangan umi. Ketika umi hampir menjatuhkan tangan, dia menghulurkan lengan untuk berjabat tangan dengan umi. Alangkah terkejutnya saya melihat mak cik itu tidak mempunyai tangan dan saya mulai mengerti kenapa mak cik tersebut tidak boleh memakai gelang dan kenapa saya dikatakan bertuah. Saat itu, saya rasa amat bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat tangan dan saya sedari betapa bertuahnya saya berbanding orang-orang disekeliling saya.
Selepas bersalam dengan mak cik tersebut, saya mengajak umi keluar dari kedai emas kerana saya tidak mahu membeli gelang yang hampir menyebabkan saya bermasam muka dengan umi. Lagipun tanpa gelang tersebut, saya masih bisa merayakan Aidilfitri bersama orang-orang tersayang.
P/s: Kita biasanya hanya akan mengetahui erti bersyukur setelah melihat orang yang lagi susah daripada kita. Jadi lepas ni, cubalah bandingkan hidup kita dengan orang yang kurang bertuah dari kita kerana dari situ kita akan dapat belajar erti nikmat dan rasa syukur di atas rezeki yang telah Allah swt kurniakan kepada kita. InsyaAllah…
No comments:
Post a Comment