Monday, August 16, 2010

terima kasih Amir


Aku mengenali Aiman ketika di tingkatan empat lagi. Gelaran “Best Student” yang dipegang olehnya membuatkan diri ini berasa gementar untuk berbicara. Lagipun dia agak popular di sekolah sedangkan aku hanyalah gadis biasa yang tidak menonjol dan di kenali. Disamping itu, aku juga berpeluang mengenali kawan baiknya, Izzat.

Pada mulanya Aiman hanyaku anggap sebagai kawan biasa tetapi lama-kelamaan aku mulai perasan ada perasaan aneh mula menjalar di hati ini. Berkali-kaliku cuba menafikan perasaan yang kian subur ini namun kenyataannya aku makin menyayanginya, menyayanginya melebihi seorang kawan. Setelah dia melanjutkan pelajaran di universiti, hubungan kami menjadi renggang sedikit. Apapun, aku bersyukur kerana universiti yang dijejakinya itu tidak jauh dari rumahku.

Walaupun Aiman sering menyakitkan hati ini, tapi aku masih mampu memaafkannya kerana hakikatnya aku sayang pada dia, malahan terlalu menyayanginya. Suatu hari, apabila dia menyatakan perasaannya, aku hampir-hampir mengatakan “YA” namun mujur akalku masih waras, aku memintanya memberikanku waktu untuk berfikir.

Setelah aku berfikir semasak-masaknya, aku nekad ingin menerimanya dan menyatakan perasaanku padanya. Oleh itu aku bercadang ingin membuat kejutan untuknya. Di sebabkan tempat pengajiannya tidak jauh dari rumahku, maka aku membuat keputusan untuk menemuinya di situ sahaja. Aku ingatkan aku yang bakal memberikan kejutan padanya, tetapi rupa-rupanya aku yang mendapat kejutan.

Aku kaget tatkala melihat gadis lain bersama dengannya, mereka kelihatan begitu mesra ketika keluar dari dewan kuliah. Aku memberanikan diri menelefon dan bertanya tentang hubungan mereka pada Izzat. Nyata jawapan yangku terima amat mengecewakan. Kawan baiknya menyatakan bahawa mereka telah “declare” secara rasmi hampir sebulan.

Ya Allah, dugaan apakah ini? Mengapa harus aku mengetahui kebenaran ini disaat hati ini telah dipenuhi namanya. Namun aku harus kuat semangat. Aku gagahkan diri menghampiri dan menegur mereka. Ternyata dia terkejut melihat kehadiranku disitu. Aku maniskan muka dan bersalaman dengan teman wanitanya. Tatkala aku mula rasa goyah, aku cepat-cepat meminta diri untuk pulang namun dia melarang.

Namun aku tetap berlalu pergi dengan hati yang berdarah. Aku sudah tidak kuat untuk meneruskan sandiwara ini. Aku bimbang air mata yang kutahan sejak dari tadi mengalir dihadapan mereka. Sampai sahaja di rumah, aku terus mengurungkan diri di dalam bilik. Aku menangis semahu-mahunya. Belum sempat aku mengecapi bahagia dengannya, kebahagiaan itu telah diragut.

Berhari-hari aku mengurungkan diri di dalam bilik, langsung tidak menjamah makanan. Telefon bimbit pula aku matikan. Tidak kira walau siapa pun yang datang, namun aku tetap membatukan diri, tidak menghiraukan mereka. Emak dan abah mulai bimbang mengenaiku namun aku tetap begitu.

Hujung minggu itu, adik lelakiku (Amir) yang pulang bercuti dari sekolah asrama penuh bertanyakan tentangku. Emak dan abahku menyatakan bahawa aku sudah tidak lagi ceria seperti dulu dan banyak mengurung diri. Emak dan abah juga menceritakan mereka pernah membuka pintu bilikku menggunakan kunci pendua tapi aku tiba-tiba sahaja mengamuk tidak tentu pasal. Untuk tidak merumitkan lagi keadaan, mereka terus keluar dari bilikku.

Amir meminta kunci daripada emak, namun emak tidak mahu memberikannya kunci itu. Amir tetap berkeras, lalu emak memberikan kunci itu setelah didesak oleh abah beberapa kali. Aku menjerit-jerit bagaikan orang histeria ketika Amir hendak masuk ke dalam bilikku, aku melemparkan semua alat solek di atas meja sebagai tanda protes. Oleh kerana adikku merasakan tindakan aku keterlaluan, dia telah menamparku beberapa kali untuk menyedarkan aku.

Aku menangis semahu-mahunya. Ketika aku mulai tenang, dia menanyakan masalahku yang sebenarnya dan meminta maaf di atas keterlanjurannya. Entah dari mana aku beroleh kekuatan untuk menceritakan semuanya kepada dia.

“Kak, akak ingat dengan menangis begini cinta hati akak akan dapat kembali ke? Rasa kecewa akak akan sembuh ke? Untuk apa akak bazirkan air mata akak demi seseorang yang tak mencintai akak? Berbaloi ke akak buat semua ni? Amir tanya akak ni, berbaloi ke akak buat macam ni?” Aku sudah tidak mampu memberikan reaksi, aku hanya mampu mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Amir.

Melihatkan aku yang tidak memberikan respon, Amir mula berdiplomasi denganku “Akak, cuba akak bayangkan bagaimana agaknya perasaan emak dan abah tatkala melihat akak begini? Akak ingat mereka senang hati ke tengok akak macam ni? Takkan sebab seorang lelaki, akak nak musnahkan hidup akak? Hidup akak masih panjang lagi, masih ada banyak perkara yang belum akak capai.”

“Akak, dalam hidup ni, Allah tak bagi orang yang kita mahukan tapi Dia bagi kita orang yang kita perlukan. Mungkin Allah hadirkan Aiman dalam hidup akak to teach you, to hurt you and to make you exactly the way you should be. Satu-satunya yang Amir tahu, lelaki itu bukanlah lelaki yang terbaik untuk akak, you deserve better than that. Akak fikirkanlah apa yang Amir cakapkan ni, Amir bukan nak berlagak pandai, tapi Amir nak akak tahu yang Amir dan keluarga kita sentiasa ada di samping akak, termasuklah teman-teman akak. Amir keluar dulu kak.”

Malam itu, kata-kata Amir terngiang-ngiang di corong telingaku. Kata-kata Amir ada benarnya. Perjalanan hidupku masih panjang, sekurang-kurang aku dapat menjadikan kisah ini sebagai pengajaran buatku agar aku tidak mudah menyerahkan hati kepada insan yang tak tahu menghargai cintaku. Aku tekad ingin berubah menjadi diriku yang dulu, riang dan ceria sepanjang waktu walaupun tanpa dirinya.

Amir, terima kasih kerana menyedarkan Akak. Akak terhutang budi dengan Amir. “Aiman, mungkin sudah tersurat yang cinta awak bukan milik saya. Semoga masa akan membawa pergi semua kenangan kita dan menyembuhkan kedukaan di hati ini.”


p/s: Peringatan untuk diri ini dan sahabat sekalian. Walau sehebat mana pun cinta kita pada seseorang tapi jika dia bukan jodoh kita, pasti akan terpisah jua akhirnya. Terimalah siapapun jodoh kita kerana Allah telah berjanji perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan begitulah jua sebaliknya.

No comments:

Post a Comment