Tuesday, September 28, 2010

sebuah kehilangan


Pada bulan puasa yang lalu, ayah kepada salah seorang teman saya telah kembali ke rahmatullah. Saya tersentak ketika mendengar berita kematian tersebut. Saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan teman saya dalam melalui ujian yang berat ini pada usia yang masih muda. Tambahan lagi adik-adiknya masih kecil. Hanya ucapan takziah yang mampu saya ucapkan. Selain itu, saya juga memintanya agar tabahkan hati dalam mengharungi dugaan ini dan menganggapnya sebagai satu ujian daripada Allah untuk menguji keimanan setiap hambaNya serta jangan sekali-kali menyalahkan takdir atas apa yang telah terjadi kerana ia ibarat menyalahkan Allah swt. Saya berharap semoga dia redha dengan takdir Ilahi yang telah tertulis untuknya.

Selang beberapa hari selepas teman saya kehilangan ayahanda tercinta, saya dikejutkan pula dengan berita nenda kesayangan telah menemui Khaliqnya. Sememangnya saya terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan arwah. Walaupun arwah nenek telah selamat disemadikan, saya tetap bertekad untuk pulang ke kampung. Sampai di kampung, saya cuba elak bercakap mengenai arwah dan cuba berlagak selamba seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi bagi mengelakkan ahli keluarga yang lain turut sedih walaupun hati meronta-ronta ingin mengetahui apa yang telah terjadi kepada arwah.

Di pagi yang suram itu, saya bersama ahli keluarga yang lain telah pergi ke tempat persemadian arwah nenek. Saya ingatkan saya dah cukup kuat untuk menghadapi dugaan ini tapi sebaik sahaja menjejakkan kaki ke tanah perkuburan, air mata saya terus menitis. Tanpa dapat dibendung lagi, air mata saya turun mencurah-curah mengenangkan kekhilafan diri. Saya ingat lagi pada petang sebelum bertolak ke kampus, umi mengajak saya untuk berjumpa nenek tapi saya menolak kerana waktu semakin suntuk dan banyak lagi perkara yang perlu saya selesaikan. Saya juga ingat saya ada menyatakan pada umi “Balik cuti raya ni boleh jumpa lagi nenek”.

Ketika inilah baru saya dapat menyelami hati teman saya yang kehilangan ayahnya. Pada masa ini jugalah saya tahu bahawa bercakap sememangnya lebih senang dari melakukan, bila dah kena batang hidung sendiri barulah tahu langit tu tinggi ke rendah. Betapa menyesalnya saya kerana tidak mengikut kata umi. Seandainya saya berjumpa dengan nenek sebelum bertolak ke kampus, pastinya rasa kesal saya tidak menggunung seperti sekarang. Memang ketika balik raya saya boleh berjumpa nenek, tapi bukan jasadnya yang menyambut saya yang ada cumalah pusaranya dan raya kali ini sememangnya sepi, sesepi hati saya yang digayut rasa rindu dan bersalah pada arwah.

Seandainya saya tahu nenek akan pergi dulu, pastinya saya akan berjumpa dengannya sebelum pulang ke kampus. Saya akan mengucapkan kata-kata sayang dan rindu, merakam setiap detik waktu bersamanya, usik mengusik dan bergelak ketawa serta menghabiskan masa dengan mengaji bersama-samanya. Sayangnya saya tak tahu dan tak berpeluang untuk melakukannya, paling menyakitkan tidak akan ada lagi peluang tersebut. Sekarang, yang tinggal hanyalah secebis kenangan bersamanya dan kenangan itulah yang akan menemani hari-hari saya yang sepi tanpa kehadirannya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka yang telah pun pergi meninggalkan kita dan semoga kita yang kehilangan ini terutamanya teman saya serta adik beradiknya diberi kekuatan dan keimanan dalam menghadapi dugaanNya. InsyaAllah.

P/s: Sahabatku, hargailah orang-orang disekeliling anda sebelum anda kehilangan mereka. Jangan jadi seperti saya yang telah menyia-nyiakan peluang yang telah diberikan.

READ MORE - sebuah kehilangan

bertuahnya kita


Beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, umi mengajak saya ke kedai emas untuk membeli seutas gelang. Sesampainya di sana, saya telah berkenan pada seutas gelang tangan yang bertatahkan permata namun umi menolak pilihan saya dan memilih seutas gelang emas yang pada pandangan saya hanya sesuai untuk golongan yang berusia.

Saya agak berkecil hati kerana umi sewenang-wenangnya menolak gelang pilihan saya. Bukankah elok sekiranya umi menerima pendapat saya kerana yang akan memakai gelang tersebut adalah saya dan bukannya umi. Sewaktu saya dan umi sedang berdiskusi mengenai gelang mana yang bakal dibeli, tiba-tiba datang seorang mak cik yang tidak dikenali menegur umi dan melihat-lihat gelang-gelang yang menjadi pilihan kami. Umi berbasa-basi dengan menanyakan mak cik tersebut sama ada dia juga mahu membeli gelang. Mak cik tersebut lantas menggelengkan kepala. Mak cik tersebut memberitahu dia tidak boleh memakai gelang dan menyatakan betapa bertuahnya saya.

Saat itu saya kurang mengerti mengapa dia menyatakan dia tidak boleh memakai gelang dan kenapa saya dikatakan bertuah. Pada andaian saya, dia mungkin alergik dan merasakan saya bertuah kerana dapat memakai gelang baru sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Ketika mak cik tersebut ingin keluar dari kedai, umi menghampirinya kerana ingin bersalam tetapi dia kelihatan teragak-agak untuk menyambut tangan umi. Ketika umi hampir menjatuhkan tangan, dia menghulurkan lengan untuk berjabat tangan dengan umi. Alangkah terkejutnya saya melihat mak cik itu tidak mempunyai tangan dan saya mulai mengerti kenapa mak cik tersebut tidak boleh memakai gelang dan kenapa saya dikatakan bertuah. Saat itu, saya rasa amat bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat tangan dan saya sedari betapa bertuahnya saya berbanding orang-orang disekeliling saya.

Selepas bersalam dengan mak cik tersebut, saya mengajak umi keluar dari kedai emas kerana saya tidak mahu membeli gelang yang hampir menyebabkan saya bermasam muka dengan umi. Lagipun tanpa gelang tersebut, saya masih bisa merayakan Aidilfitri bersama orang-orang tersayang.

P/s: Kita biasanya hanya akan mengetahui erti bersyukur setelah melihat orang yang lagi susah daripada kita. Jadi lepas ni, cubalah bandingkan hidup kita dengan orang yang kurang bertuah dari kita kerana dari situ kita akan dapat belajar erti nikmat dan rasa syukur di atas rezeki yang telah Allah swt kurniakan kepada kita. InsyaAllah…

READ MORE - bertuahnya kita

puasa 6

Sahabatku sekalian,

Sudah puasa enam ke belum? Tahu ke tak puasa enam ni puasa apa? Baiklah, untuk entri kali ini saya akan cuba terangkan serba sedikit mengenai puasa enam ni. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat sekalian, puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Aidilfitri.

Puasa enam itu sunat dilakukan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqada puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh.

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah saw sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :

"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Apa tunggu lagi, jom kita puasa enam….


READ MORE - puasa 6