Tuesday, September 28, 2010

sebuah kehilangan


Pada bulan puasa yang lalu, ayah kepada salah seorang teman saya telah kembali ke rahmatullah. Saya tersentak ketika mendengar berita kematian tersebut. Saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan teman saya dalam melalui ujian yang berat ini pada usia yang masih muda. Tambahan lagi adik-adiknya masih kecil. Hanya ucapan takziah yang mampu saya ucapkan. Selain itu, saya juga memintanya agar tabahkan hati dalam mengharungi dugaan ini dan menganggapnya sebagai satu ujian daripada Allah untuk menguji keimanan setiap hambaNya serta jangan sekali-kali menyalahkan takdir atas apa yang telah terjadi kerana ia ibarat menyalahkan Allah swt. Saya berharap semoga dia redha dengan takdir Ilahi yang telah tertulis untuknya.

Selang beberapa hari selepas teman saya kehilangan ayahanda tercinta, saya dikejutkan pula dengan berita nenda kesayangan telah menemui Khaliqnya. Sememangnya saya terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan arwah. Walaupun arwah nenek telah selamat disemadikan, saya tetap bertekad untuk pulang ke kampung. Sampai di kampung, saya cuba elak bercakap mengenai arwah dan cuba berlagak selamba seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi bagi mengelakkan ahli keluarga yang lain turut sedih walaupun hati meronta-ronta ingin mengetahui apa yang telah terjadi kepada arwah.

Di pagi yang suram itu, saya bersama ahli keluarga yang lain telah pergi ke tempat persemadian arwah nenek. Saya ingatkan saya dah cukup kuat untuk menghadapi dugaan ini tapi sebaik sahaja menjejakkan kaki ke tanah perkuburan, air mata saya terus menitis. Tanpa dapat dibendung lagi, air mata saya turun mencurah-curah mengenangkan kekhilafan diri. Saya ingat lagi pada petang sebelum bertolak ke kampus, umi mengajak saya untuk berjumpa nenek tapi saya menolak kerana waktu semakin suntuk dan banyak lagi perkara yang perlu saya selesaikan. Saya juga ingat saya ada menyatakan pada umi “Balik cuti raya ni boleh jumpa lagi nenek”.

Ketika inilah baru saya dapat menyelami hati teman saya yang kehilangan ayahnya. Pada masa ini jugalah saya tahu bahawa bercakap sememangnya lebih senang dari melakukan, bila dah kena batang hidung sendiri barulah tahu langit tu tinggi ke rendah. Betapa menyesalnya saya kerana tidak mengikut kata umi. Seandainya saya berjumpa dengan nenek sebelum bertolak ke kampus, pastinya rasa kesal saya tidak menggunung seperti sekarang. Memang ketika balik raya saya boleh berjumpa nenek, tapi bukan jasadnya yang menyambut saya yang ada cumalah pusaranya dan raya kali ini sememangnya sepi, sesepi hati saya yang digayut rasa rindu dan bersalah pada arwah.

Seandainya saya tahu nenek akan pergi dulu, pastinya saya akan berjumpa dengannya sebelum pulang ke kampus. Saya akan mengucapkan kata-kata sayang dan rindu, merakam setiap detik waktu bersamanya, usik mengusik dan bergelak ketawa serta menghabiskan masa dengan mengaji bersama-samanya. Sayangnya saya tak tahu dan tak berpeluang untuk melakukannya, paling menyakitkan tidak akan ada lagi peluang tersebut. Sekarang, yang tinggal hanyalah secebis kenangan bersamanya dan kenangan itulah yang akan menemani hari-hari saya yang sepi tanpa kehadirannya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka yang telah pun pergi meninggalkan kita dan semoga kita yang kehilangan ini terutamanya teman saya serta adik beradiknya diberi kekuatan dan keimanan dalam menghadapi dugaanNya. InsyaAllah.

P/s: Sahabatku, hargailah orang-orang disekeliling anda sebelum anda kehilangan mereka. Jangan jadi seperti saya yang telah menyia-nyiakan peluang yang telah diberikan.

No comments:

Post a Comment